Pages

Ads by Nuffnang

Tuesday 24 April 2012

PTPTN jadi isu kerana ada pihak mahu jadi PM



SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dijadikan isu sejak kebelakangan ini, selepas 15 tahun diperkenalkan, disebabkan "cita-cita besar individu tertentu" mahu menjadi perdana menteri, kata Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamed Said.
Dalam temu bual khas dengan Sinar Harian, Ismail berkata, sebenarnya, berbagai-bagai isu timbul kerana cita-cita besar individu tertentu untuk menjadi perdana menteri.
"Banyak perkara yang diputuskan oleh kerajaan semasa individu tersebut menjadi Timbalan Perdana Menteri dan malah menjadi pemangku Perdana Menteri," kata beliau tanpa merujuk kepada mana-mana individu secara langsung.
Bagaimanapun kenyataan itu merujuk kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika PTPTN digubal pada 1997.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata PTPTN diperkenalkan ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan.
Bagaimanapun PKR pula membalas bahawa ia diperkenalkan ketika Datuk Seri Najib Tun Razak memegang portfolio Kementerian Pelajaran.
Kini, Najib merupakan Perdana Menteri manakala Anwar pula Ketua Pembangkang.
Ismail, yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau mengulas soalan mengapa selepas 15 tahun PTPTN dilaksanakan ia menjadi isu sekarang.
Mengenai tindakan PTPTN terhadap desakan memansuhkan pinjaman, Ismail berkata, pihaknya bersedia mendengar pandangan semua pihak mengenai pemansuhan satu peratus kadar Ujrah atau upah dikenakan kepada pelajar sebagai kos pentadbiran.
"Dan, kita meneliti perkara ini dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan harap KPT bersama dengan pihak yang menuntut supaya ajukan kepada Perdana Menteri.
"Namun, setakat ini kita masih mengekalkan dasar sedia ada," katanya lagi.
Dalam hal ini, jelas beliau, terpulang kepada kerajaan kerana kos dikenakan minimum setelah dikurangkan kadar faedah daripada lima peratus kepada tiga peratus.
"Akhirnya kita dapat keputusan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2008 dan setuju menukar kadar faedah mengenai pinjaman konvensional dalam bentuk prinsip syariah iaitu Ujrah.
"Paling penting, dalam kadar satu peratus ini, mana-mana pelajar terlebih bayar melalui sistem lama, kita telah pulangkan kepada pelajar tersebut," katanya lagi.
Sehingga 31 Mac tahun ini, jelas beliau, pihaknya telah memulangkan kembali hasil penyelarasan lima peratus kepada tiga peratus hingga satu peratus berjumlah RM2.72 juta melibatkan 3,229 peminjam.

Mahasiswa usah terlalu sensitif


**artikel ini berasal dari harian metro online, Brader Gagak tidak mempunyai hak cipta terhadap artikel ini**


MEMANG tidak habis-habis isu Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU), lepas satu timbul pula desakan mahasiswa yang mahu akta itu dimansuhkan sepenuhnya dengan alasan sudah tidak relevan pada alaf baru.
Mereka mendakwa pindaan yang dicadangkan kerajaan itu hanya ‘gimik’ pihak tertentu menawan hati mahasiswa, namun ia masih mengekang pemikiran dan hak mereka bersuara dan berpolitik.
Justeru, mereka mahu AUKU dimansuhkan kerana ia lebih praktikal bagi melonjakkan kemampuan dan sensitiviti sistem pendidikan moden.

Pindaan pula dianggap ‘hadiah’ kepada warga institusi pengajian tinggi kerana keprihatinan itu bakal memberi peluang kepada mereka meneroka alam pendidikan berlandaskan peraturan dan kawalan tertentu.

Sama ada pindaan atau pemansuhan, hakikatnya, AUKU terutama seksyen 15C ( 3) memang mencetuskan provokasi tersendiri dalam kehidupan warga kampus kerana ia melarang mahasiswa menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja.

Persoalannya, sama ada pindaan atau permansuhan, adakah AUKU masih relevan dalam era pendidikan moden hari ini?

Timbalan Dekan (Akademik dan Pembangunan Pelajar) Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Ahmad Zainudin Husin berkata, mahasiswa perlu melihat secara waras mengenai AUKU tanpa mengaitkan dengan sentimen tertentu.

Beliau berkata, penting bagi mereka memahami bahawa akta itu bukan hanya menekankan seksyen tertentu semata-mata, malah mencakupi aspek luas yang menyentuh pelbagai peranan serta fungsi.

“Desakan mahasiswa supaya AUKU dimansuhkan tidak akan menyelesaikan masalah.
Ia tidak boleh diselesaikan hanya dengan ‘berteriak’ atau berdemonstrasi.

“Ia lebih kompleks. Bukan mudah menghapuskan akta yang sudah sah melalui proses perundangan, memperoleh kebenaran rasmi serta termaktub dalam undang-undang negara. Ia tidak boleh dipinda atau dimansuhkan sesuka hati.

“Pihak yang lantang bersuara perlu memahami situasi ini. Ia tidak boleh diubah sekelip mata kerana ada proses panjang dan rumit perlu dilalui,” katanya.

AUKU memang tidak pernah sunyi dengan polemik dan kontroversi sejak kewujudannya pada 1971.

Sudah mengalami beberapa pindaan, akta itu bagi segelintir pihak menjadi batu penghalang dan mimpi ngeri jika mahasiswa ingin bebas bersuara dan berpolitik.

Kemelut demi kemelut menjadikan AUKU isu panas dan sensitif bagi mahasiswa hingga menyebabkan akta ini diberi janji untuk dipinda lagi.

Bagaimanapun, pindaan itu tidak menarik hati segelintir mahasiswa, sebaliknya mahukan kebebasan penuh iaitu dimansuhkan.

Mereka menuntut universiti diberi kuasa autonomi untuk menggubal undang-undang sendiri selari undang-undang perlembagaan tanpa campur tangan birokrasi pihak luar.

Beliau yang juga pensyarah Jabatan Sejarah UPSI berkata, tindakan itu akan memakan diri sendiri kerana jika universiti menggubal undang undang baru, mereka juga memerlukan rujukan akta tertentu sebagai panduan.

“Dalam konteks ini, universiti tidak boleh sesuka hati mewujudkan undang-undang kerana selama ini mereka tertakluk pada peraturan sedia ada.

“Biarpun diberi kuasa autonomi, saya percaya mewujudkan undang-undang baru dengan kepemimpinan sendiri tidak mudah. Ini perkara besar yang membabitkan prosedur yang panjang.

“Ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Jadi di manakah relevannya permintaan itu?” soalnya.

Beliau berpendapat, jalan terbaik untuk mengembalikan semula keharmonian ialah dengan mengkaji akta berkenaan lebih mendalam bersesuaian kehendak semasa, mahasiswa juga global.

“Ini lebih baik daripada semua pihak ‘bermusuhan’. Dalam menangani AUKU, kepentingan semua perlu diambil kira bagi menjamin hak dan meneruskan kelangsungan sistem pendidikan negara dengan harmoni.

“Janganlah kerana mengikut hati yang panas atau terpengaruh desakan pihak lain, sistem pendidikan tinggi kita korbankan. Ini tidak betul dan boleh menjejaskan masa depan generasi mahasiswa lain,” katanya.

Malah, untuk bertindak lebih adil, beliau menyarankan agar diwujudkan suruhanjaya untuk mengkaji aspek pelengkap AUKU.

Melalui suruhanjaya ini, katanya, semua pihak diberi akses bebas untuk menyuarakan pandangan sebelum keputusan dibuat.

“Cara ini lebih praktikal kerana kepentingan semua pihak diambil kira dan tidak membelakangkan hak sesiapa pun. Beri kebebasan mereka untuk melahirkan pandangan masing-masing selain disertakan fakta kukuh.

“Kata putus serta persetujuan diambil itu mampu menjernihkan kembali ketegangan sedia ada. Ini menunjukkan mahasiswa golongan intelektual dan bermaruah.

“Demonstrasi jalanan atau tindakan membuta tuli hanya akan meletakkan mereka di tahap paling rendah. Saya nasihatkan, jangan terlalu terburu-buru mengikut kata hati, kelak menyesal,” katanya.

Mantan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Ahmad Syukri Ab Razab pula tetap menegaskan, pemansuhan AUKU perlu dilaksanakan kerana mengganggu pembentukan jati diri sejati mahasiswa untuk mengikuti modul pendidikan sebenar.

Menurutnya, tiada sesiapa berhak menghakimi tindakan mahasiswa yang mahukan AUKU dimansuhkan kerana ia kehendak naluri sendiri yang mahukan keadilan telus tanpa kerenah birokrasi.

“Malangnya, apabila mahasiswa bersuara mengenai AUKU, semua pihak pasti mengaitkannya sebagai propaganda pihak tertentu. Tidakkah mereka lihat itu naluri mahasiswa yang sudah bosan dilayan bagaikan budak kecil dan sering diperkotak-katikkan?

“Cukup dan usah mengaitkan mahasiswa dengan mengatakan mereka diperkudakan pihak tertentu. Apa dilakukan ini adalah kehendak sendiri kerana sudah lama tertindas dengan peraturan berat sebelah.

“Sebagai generasi muda, mereka inginkan pembaharuan lebih praktikal.
Pemansuhan ini bakal menjadi lembaran baru dalam dunia pendidikan moden hari ini, sekali gus melahirkan wajah mahasiswa baru,” katanya.

Menafikan pemansuhan itu juga, katanya, menyebabkan mahasiswa bertindak lebih ‘kurang ajar’, sebaliknya apabila universiti diberi kuasa autonomi menggubalkan undang-undang sendiri, kehidupan mahasiswa lebih proaktif.

“Apabila mahasiswa merasakan apa dilakukan universiti salah, mereka ada hak bersuara dan universiti pasti mengambil tindakan segera bagi mengatasinya tanpa perlu merujuk atau mengikut telunjuk pihak tertentu.

“Tidak perlu lagi kami menunggu bagai buah tidak gugur apakah keputusannya.
Justeru, tidak timbul isu mahasiswa bertindak lebih kuah dari sudu kerana semua peraturan selari dengan undang-undang negara melainkan dilaksanakan sepenuhnya oleh universiti.

“Kami tidak perlu berdepan kerenah birokrasi peringkat tertinggi kerana universiti sendiri boleh menentukan tindakan bakal diambil. Itu lebih telus, adil dan menyenangkan hati kerana universiti pasti kenal hati budi mahasiswanya sendiri,” katanya mengakui AUKU menjadikan mahasiswa naif merancang pembangunan jati diri.

“Bayangkan sejak mula menjejakkan kaki di universiti sudah disogokkan dengan ‘kekebalan’ AUKU. Mereka tidak bebas melahirkan pendapat, tidak berjiwa kental serta perlu mengikut ‘telunjuk’.

“Sedangkan dunia memerlukan pelapis yang berfikiran kritis, berani melahirkan pandangan serta menyahut cabaran. AUKU sudah tidak relevan dipraktikkan kerana senario mahasiswa kini sudah berubah,” katanya.

Akuinya, biarpun daripada 1.2 juta mahasiswa hanya tujuh peratus lantang bersuara, tidak bermakna peratus selebihnya tidak peka.

“Yang membezakan ialah tujuh peratus itu aktif dalam memperjuangkan hak mahasiswa manakala selebihnya tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan.

“Paling penting, mereka nampak dan tahu apa perlu dilakukan bagi memastikan tindakan atau hak tidak dicabuli, sekali gus membantu merangka pemikiran luar kotak. Inilah generasi mahasiswa alaf baru yang sebenarnya perlu dilahirkan.

“Bukan penakut atau mudah dipersendakan sesuka hati,” katanya.


sumber daripada : hmetroonline

Dikeroyok tak bayar hutang judi


KUALA LUMPUR: Akibat gagal melunaskan hutang lebih RM1,000 selepas kalah berjudi, seorang lelaki berusia 23 tahun bukan saja dibelasah 10 lelaki, malah rambutnya turut digunting kumpulan terbabit dalam kejadian di Taman Sri Murni, di sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa parah di badan dan kepala akibat dibelasah kumpulan terbabit.

Menurut sumber, mangsa yang kalah berjudi di sebuah premis di kawasan berkenaan mendakwa mahu keluar dari bangunan itu untuk ke bank mengeluarkan wang, namun ditolak dua lelaki yang menyangkakan mangsa mahu melarikan diri selepas kalah dalam pertaruhan itu.
Katanya, mangsa mulanya dibenarkan meninggalkan kawasan berkenaan kerana berjanji datang semula untuk membayar hutang dan meminta tempoh kurang sejam berbuat demikian.

“Bagaimanapun, mangsa kemudian meminta dua lelaki terbabit menunggunya di sebuah restoran berhampiran kawasan itu.

“Mangsa yang datang semula dengan tangan kosong terkejut apabila mendapati dua suspek yang menolaknya menunggu di restoran berkenaan bersama 10 lelaki lain.
“Mangsa bukan saja diterajang dan ditumbuk, malah rambutnya turut digunting seorang daripada suspek terbabit.

“Kumpulan itu meninggalkan kawasan berkenaan sebelum mangsa membuat laporan di Balai Polis Jinjang,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang cedera di badan dan kepala ditahan hampir 24 jam di sebuah hospital sebelum dibenarkan pulang jam 10 malam, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dilakukan.

Minta rahsia kematian


MIRI: Permintaan supaya tidak mendedahkan kematiannya kepada sesiapa selain tidak mempunyai wang untuk urusan pengebumian dipercayai antara sebab mengapa kematian seorang ibu bersama anak perempuannya dirahsiakan selama hampir lima tahun sebelum mayat mereka dijumpai di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Pangkalan Lutong Baru, di sini, kelmarin.
Permintaan pelik wanita terbabit menyebabkan seorang anak perempuannya berusia 40-an yang tinggal bersamanya merahsiakan kematian itu termasuk daripada diketahui ahli keluarga.

Sumber polis berkata, setakat ini siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah berhubung kematian dua beranak terbabit, namun mereka dipercayai sudah meninggal dunia sejak hampir lima tahun lalu.
Malah, katanya, bagi memastikan kematian itu tidak terbongkar, mayat dua beranak itu dibiarkan dalam bilik berkenaan dengan tingkap bertutup, sekali gus mengelak bau busuk dikesan sesiapa termasuk jiran.

“Bagaimanapun, setakat ini kami tidak dapat mengesahkan punca kematian atau motif lain di sebalik kejadian itu. Polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk menyoal anak perempuan si mati dan anak saudaranya yang tinggal di rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Harian Metro semalam melaporkan dua rangka wanita berusia 79 tahun dan anak perempuannya berusia 49 tahun ditemui dalam sebuah bilik oleh seorang lagi anak perempuan mangsa berusia 40-an bersama suaminya ketika mahu menjenguk ibunya yang tidak ditemui sejak hampir lima tahun lalu.


Along ugut mahu culik


JOHOR BAHRU: “Sekumpulan along mengugut hendak menculik saya sekiranya gagal melangsaikan hutang RM17,000 dalam tempoh terdekat sedangkan baki dalam akaun bank tinggal RM1,” kata mangsa along yang mahu dikenali sebagai Nana, 31, di sini, semalam.
Menurut Nana, dia kini hidup ketakutan dan merayu bantuan mana-mana pihak kerana setiap hari, dia menerima sekurang-kurangnya 20 panggilan serta SMS daripada kumpulan along terbabit.

Nana berkata, dia bimbang along terbabit menceroboh rumahnya di Skudai selain mengancam keselamatannya serta adik perempuan berusia 23 tahun yang tinggal bersamanya.
“Semuanya bermula sebulan lalu apabila saya meminjam RM1,000 daripada seorang along untuk memulakan perniagaan.

“Bagaimanapun, saya terperangkap dengan kadar bunga tinggi sebelum terpaksa meminjam daripada beberapa along lain di bandar raya ini dan kini jumlahnya mencecah RM17,000,” katanya.

Menurut Nana, dia membuat pinjaman untuk dijadikan modal mengambil alih perniagaan makanan rakannya.
Nana yang bimbang dengan keselamatannya membuat tiga laporan di Balai Polis Nusajaya, Sentral dan Skudai masing-masing pada 20 April, 13 April serta 18 April lalu.

Sementara itu, jurucakap polis Skudai ketika dihubungi mengesahkan laporan Nana.

Hadapi risiko hilang upaya




PUTRAJAYA: Seorang lelaki mendakwa Hospital Putrajaya tidak memberikan rawatan sepatutnya selepas dia terbabit kemalangan, sekali gus menanggung risiko hilang upaya terhadap kecuaian itu.
Kakitangan swasta, Mohammad Fauzi Abdul Halim, 41, mendakwa kejadian itu berlaku pada 28 Ogos tahun lalu selepas dia mengalami kemalangan disebabkan motosikalnya melanggar besi di kawasan Lebuhraya Maju Expressway Putrajaya-Kuala Lumpur.
Menurutnya, ketika itu dia bersama anak sulungnya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menyelesaikan beberapa urusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Saya tak perasan ada besi di jalan dan melanggarnya menyebabkan saya dan anak perempuan jatuh di jalan. Kejadian itu menyebabkan tangan kiri saya luka dan berdarah dan menelefon ambulans untuk menghantar kami ke Hospital Putrajaya.

“Ketika rawatan, doktor meminta saya menjalani X-ray serta diberikan ubat tanpa memberitahu apa-apa masalah yang dihadapi. Saya dibenarkan pulang ke rumah pada hari sama,” katanya yang mengadu perkara itu kepada Harian Metro di sini.

Mohammad Fauzi mendakwa, sebaik pulang ke rumah dia berasa sakit dan pedih pada bahagian luka berkenaan dan disebabkan tidak berpuas hati dia mendapatkan rawatan di dua klinik panel sebulan selepas kejadian.

“Bagaimanapun, saya dinasihatkan merujuk ke hospital untuk mengetahui lebih lanjut masalah dihadapi. Seterusnya, saya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 28 Januari lalu untuk rawatan susulan.

“Selepas menjalani X-ray, doktor mengesahkan saya menghadapi masalah pada tangan kiri. Saya tidak berpuas hati dengan pihak Hospital Putrajaya kerana tidak memaklumkan masalah itu lebih awal ketika menerima rawatan di sana,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Hospital Putrajaya, Dr Mohd Anis Haron ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima aduan Mohammad Fauzi dan membuat siasatan lanjut mengenai perkara itu.



sumber